Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

image Follow Us:

Simbol R merahkan kehijauan muktamar

SESUATU yang tidak pernah berlaku dalam Muktamar Tahunan PAS sebelum ini, di mana gelombang merah meredah gelombang hijau yang biasa menjadi tema warna PAS melanda Muktamar Tahunan PAS ke-58 kali ini.

Muktamar Tahunan PAS ke-58 berlangsung di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) dekat sini bermula 14 November hingga 18 November. Gelombang ini bukanlah gelombang ciptaan Umno-BN sebelum ini pada pilihan raya umum yang lalu, namun gelombang merah ini ditambah dengan logo R sebagai simbolik tuntutan royalti Kelantan dari kerajaan UmnoBN dan Petronas.

Simbol R yang menghiasi baju kemeja bulat dan t-shirt menjadi suatu keistimewaan kepada muktamar PAS kali ini. Ramai golongan muda memakainya bukan sekadar ianya cantik, tetapi penuh makna yang mendalam dalam kempen menuntut hak royalti minyak.

Sejak hari pertama lagi gerak jualan dibuka, baju merah berlogo R dan tertera tulisan Royalti Hak Kami dipakai pelbagai lapisan masyarakat yang mengunjungi ekspo tersebut. Tidak kira kecil mahupun tua, baju ini menjadi pilihan. Sementara mood memakai baju merah berlogo R ini masih membadai, golongan peniaga pula rata-ratanya mendapat keuntungan dengan menjual baju seperti ini.

Di samping itu, ianya menunjukkan iltizam rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya dalam menuntut hak mereka yang dizalimi sejak tahun 2004 lagi.

Lebih dari itu, semua pimpinan juga memakai selempang merah yang berlogokan R dan bertulis Menuntut Royalti Minyak Kelantan. Ingat sahaja pada hari perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, semua pimpinannya memakai maflar berlogo R dan Program anjuran Pemuda PAS dipenuhi dengan logo R.

Gerai-gerai jualan pula dikerumuni oleh pengunjung yang mahu mendapatkan baju merah atau apa sahaja warna yang mana tertera logo R.

Uniknya masyarakat Kelantan, mereka handal bermain bola hinggakan logo R kini dikaitkan bersama pasukan The Red Warriors dalam siri turun padangnya setiap jelajah bola.

Apa pun simbol itu, rakyat Kelantan akan terus dinafikan hak yang termaktub semasa perjanjian antara Tun Razak Hussein dengan kerajaan negeri yang membolehkan 5 peratus hasil diperolehi rakyat.

Biar merah membadai Kelantan untuk royalti, tetapi tidak mengubah hati-hati mereka yang menentang dan meminta hak mereka ini.