Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

image Follow Us:

Tahaluf Siyasi Salah Satu Jalan Dakwah

PENGKALAN CHEPA, 17 Nov - "Presiden telah mengatakan dengan tegas bahawa perlaksanaan syariat Islam akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi, maka ini membunuh segala hujah bahawa kita takut untuk berhadapan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat" tegas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dalam penggulungan ucapan dasar presiden semalam. Beliau menambah lagi UMNO cuba melahirkan pandangan umum bahawa PAS tidak mampu untuk menzahirkan perjuangan Islam yang dibawa.

Menurut beliau lagi, Dokumen Negara Berkebajikan yang PAS tampilkan dipegang oleh ahli-ahli Parlimen bukan sekadar dari kalangan PAS tetapi di kalangan ahli Parlimen UMNO Barisan Nasional di samping menjadi perbahasan yang menunjukkan apa yang PAS bawa akan memberi sumbangan besar kepada negara. "Oleh itu tidak timbul masalah kita tidak dapat memberi penjelasan tentang Islam. UMNO BN cuba untuk pamerkan bahawa kita takut dengan rakan-rakan kita dalam DAP. Saya suka untuk  memberi penjelasan bahawa kita nyatakan tentang dasar kita di depan DAP dan di belakang mereka, kita berterus terang. PAS bukan parti yang berpura-pura," tegasnya.

Merujuk kepada ucapan Dato' Presiden tentang tahaluf siyasi beliau berkata bahawa dalam menonjolkan tahaluf siyasi PAS tidak pernah rugi walau sebesar zarah pun. Malah rakan DAP ada berjumpa dengan Tuan Guru untuk bertanyakan tentang ayat Al-Quran dan membaca ayat Al-Quran dalam ceramah mereka. Ini merupakan suatu keadaan yang tidak pernah berlaku di kalangan MCA walaupun mereka sudah lama berkawan dengan BN. "Ini merupakan keluasan dakwah yang dapat kita tampilkan dengan wajah besar kita apabila kita memberi peluang kepada mereka. Kita perlu beri peluang kepada orang bukan Islam dalam DAP untuk faham tentang Islam," ujarnya lagi.

Beliau berkata kita perlu beri ruang untuk mereka belajar tentang kita. Mungkin pada mulanya mereka menyakitkan hati kita sebagaiman Nabi S.A.W dibaling batu ketika berdakwah di Taif sehingga malaikat menawarkan untuk menghempaskan gunung ke atas mereka. Tetapi Nabi S.A.W tidak membenarkan. Keberkesanan dakwah Nabi S.A.W ini terbukti apabila anak-anak mereka yang lahir kemudiannya menjadi pejuang Islam bersama Nabi S.A.W dan berterusan hingga ke hari ini. Ini adalah keluasan dakwah dan PAS tidak perlu berputus asa. PAS harus bergerak pantas dan terus menggembleng tenaga untuk menambah keyakinan mereka kepada PAS yang insyaAllah akan terus menjadi parti yang melebarkan sayap rahmatnya kepada seluruh ummah dalam negara ini. "Itu peranan PAS dalam parlimen dan PAS tidak pernah lengah untuk membawa perbahasan gagasan pemikiran bahawa PAS tidak pernah memperlekehkan Islam" tegasnya.

Beliau kemudian menyentuh tentang kepimpinan ulama' dan menyatakan kesyukurannya kerana dapat membaca Al-Quran pada hari ini adalah hasil daripada didikan ulama'. "Kita bersama kepimpinan ulama' yang merupakan suatu rahmat dan saya yakin tidak ada di kalangan pimpinan yang ada di atas ini yang ingin menumbangkan kepimpinan ulama'. Inilah suatu kepimpinan yang kita banggakan" katanya.

Malah menurutnya lagi PAS kini sedang dalam projek untuk melahirkan ulama'-ulama' muda. "Alhamdulillah pada hari ini kita lihat ramai ulama'-ulama' muda kita yang mampu bercakap di hadapan ini dan saya percaya bahawa mereka akan menggantikan para pimpinan yang ada sekarang" katanya lagi. Ini memberi gambaran bahawa kepimpinan ulama' tidak akan putus dalam PAS. PAS telah belajar dari pimpinan terdahulu seperti Allahyarham Hj Fadzil Mohd Noor, Allahyarham Ustaz Yusof Rawa dan Tuan Guru Nik Abd Aziz. Ulama'-ulama' ini memberi keyakinan kepada ahli-ahli PAS dan mereka tidak pernah memaksa kita memanggil mereka tok guru.

Di akhir ucapannya Dato Salahuddin Ayub menyatakan keyakinannya bahawa PAS merupakan parti yang dijaga oleh Allah dan mereka yang berniat tidak baik tidak akan kekal di dalam PAS. Beliau mengingatkan agar para ahli sentiasa menjaga niat kerana Allah tahu apa yang ada di dalam hati. "Jangan main-main dengan niat kita, Allah tahu apa yang ada dalam hati kita. Apa yang penting adalah kita menjaga niat di hati apabila ada sebarang perbezaan pandangan."