Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

image Follow Us:

PAS Ada Kaedah Sendiri Pilih Calon PRU

PENGKALAN CHEPA, 18 Nov - PAS punya kaedah sendiri bagi memilih calon yang akan bertanding pada setiap pilihan raya umum, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata pada dasarnya pucuk pimpinan bersetuju dengan dua kaedah yang sedang diguna pakai itu.

Kaedah pertama ialah PAS Negeri akan memberikan tiga nama calon yang akan bertanding di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Nama yang diserahkan PAS Negeri itu diperoleh daripada PAS kawasan-kawasan.

"Kemudian, jawatan kuasa harian PAS Pusat dan Majlis Syura akan meneliti nama tersebut dan selepas itu barulah diputuskan siapa yang akan bertanding," jelasnya.

Manakala kaedah yang kedua ialah mengetengahkan calon-calon yang mempunyai kriteria yang dirasakan boleh memberi nilai tambah kepada PAS.

"Tambahan syarat utama calon adalah jangan diminta untuk jadi calon, jika berlaku yang demikian, maka individu tersebut sama sekali tidak akan diterima sebagai calon," jelasnya lagi.

Menjawab soalan wartawan berkenaan permintaan Dewan Himpunan Penyokong PAS agar sayap itu juga diperuntukkan kerusi itu berkata, anggota Dewan itu juga akan diberikan kerusi.

Dalam sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan Pas Kali-58 di Pusat Tarbiah Islamiah itu petang semalam, beliau menyatakan pembahagian kerusi bagi calon PAS sudah 90 peratus selesai terutama di Sabah dan Sarawak.

"Ada sikit lagi terutama di Sabah dan Sarawak. Kita tak boleh umum lagi pada waktu ini," katanya.