Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

image Follow Us:

PAS bersama Pakatan ke Putrajaya

KOTA BHARU: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi pendiran bahawa PAS akan tetap beriltizam bersama Pakatan Rakyat untuk menentang Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 bagi menerajui Putrajaya.

Beliau menegaskan perkara itu dalam Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-58 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) dekat sini 18 November lalu. Ustaz Hadi berkata, semua pihak dalam PAS harus mematuhi tahaluf siyasi yang telah dibuat iaotu bersama Pakatan Rakyat.

"Di sini saya tegaskan sebagaimana kita putuskan dalam muktamar ini, PAS akan terus beriltizam dengan Pakatan Rakyat, kerana inilah waki' dan realiti di Malaysia. PAS tidak boleh sendirian dengan orang Islam sahaja, ini juga difahami Umno, Umno parti Melayu yang tinggi semangatnya, mereka bergabung dengan parti lain, pemerintahan secara masyarakat majmuk,

"Tetapi kita sangat berbeza dengan Umno-BN, kerana PAS ada konsep dan cara yang tersendiri dalam tangani masyarakiat majmuk, melalui Pakatan Rakyat kita hasilkan resolusi, konvensyen pertama dan diteguhkan lagi dalam konvensyen kedua," ujar beliau.

Ustaz Hadi menegaskan, Pakatan Rakyat telah menggariskan empat perkara yang disetujui bersama iaitu meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan hak istimewa orang Melayu terjamin, kedudukan Bahasa Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu yang terjamin.

PAS amat yakin, rakyat kini telah sedar bahawa Umno-BN tidak lagi memberi keadilan kepada rakyat, malah Umno tidak mahu melaksana Islam sebagaimana yang ditentukan dalam Quran dan Hadis.

Umno yang membina perlembagaan, akhirnya mengkhianati perlembagaan untuk kepentingan mereka sendiri, katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang.

Lebih malang lagi kata Ustaz Hadi, Umno mengamalkan budaya yang tidak memberi contoh yang baik kepada bukan Islam khasnya dalam komponen BN hingga mereka ini sanggup menghina Islam.

Dalam hal pentadbiran pula, Umno sangat berbeza dengan PAS kerana Umno menggunakan keempatan kuasa untuk menindas rakyat, menyekat hak rakyat dan menzalimi rakyat dengan pelbagai tindakan.

Lebih dari itu, Umno sendirilah yang menyekat bantuan kepada orang Melayu dalam kes royalti minyak di Kelantan dan Terengganu, katanya.

Namun Umno melaungkan slogan kononnya merekalah jaguh membela Melayu, sedangkan dalam masa yang sama menindas Melayu.PAS berjuang bersamasama Umno semasa menuntut kemerdekaan hinggakan ramai pimpinan PAS yang dipenjarakan semasa pimpinan Umno menjadi pegawai kepada kerajaan British, katanya lagi.

Kata Ustaz Hadi, sikap Umno sejak dahulu hingga kini tidak pernah berubah malah semakin parah kerana kini Umno mengambil pendekatan mengkayakan kroni, menzalimi rakyat dengan akta yang menindas.

Sementara itu, dalam ucapan yang sama, Ustaz Hadi juga menyokong penuh cadangan pengisytiharan harta yang diutarakan Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar sayap parti itu dua hari sebelum Muktamar Tahunan PAS.

"Pemuda cadang isytihar harta, saya yang pertama sokong, kalau nak bertanding dan nak jadi kerajaan kita tidak mahu jadi seperti Umno. Kita mahu jadi pimpinan yang adil dan baik, di mana mengambil contoh Nabi Muhammad s.a.w yang diajar Allah apabila menjadi ketua negara, jangan mengumpul harta untuk anak isteri dan kroni," katanya lagi.

Untuk mengelak daripada adanya budaya mengambil kesempatan dalam pemerintahan untuk membina kekayaan, Ustaz Hadi menyokong penuh dan bersedia membuat pengisytiharan harta jika dipilih menjadi wakil rakyat.

Ustaz Hadi seterusnya mengingatkan agar seluruh petugas PAS agar siap siaga dengan segala kekuatan yang ada.

"Marilah kita sedia menghadapi PRU13 dengan yakin ikhlas dan berilmu dengan hidup," katanya lagi.

Sementara itu, dalam sidang media selepas muktamar berakhir Ustaz Hadi turut ditanya wartawan berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengaitkan Umno dengan murtad.

Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, huraian berhubung murtad boleh dirujuk dalam Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri.

"Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang memperlekehkan Islam. Itu kitab yang ditandatangani Tun Dr Mahathir," katanya tidak mahu mengulas panjang.

Ustaz Hadi dalam masa yang sama menyentuh mengenai persiapan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 berada pada tahap maksimum di seluruh negara.

Beliau berkata, persediaan rapi bukan sahaja ditunjukkan di negeri-negeri di bawah PAS tetapi juga di negeri-negeri di bawah pemerintahan BN.

"Saya bukan sahaja melihat mood perwakilan tapi melawat seluruh negara, ke kawasankawasan parlimen dan saya dapati persediaan pilihan raya sangat baik dan sangat memuaskan hati saya.

"Bukan sahaja di negeri-negeri PAS sudah memerintah tetapi termasuk di negeri bukan PAS memerintah termasuk Sabah dan Sarawak," kata lagi.

Muktamar PAS yang berakhir petang Ahad lepas, dalam suasana yang sangat ceria di kalangan semua pihak yang menyertainya kali ini.

Ucapan penggulungan yang dibuat oleh Presiden PAS dianggap yang terbaik dan memberikan motivasi kepada semua.